Saturday 24 January 2015

RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG (RRJP) DAN RANCANGAN MALAYSIA(RM)

RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG (RRJP)
  • RANGKA RANCANGAN JANGKA PANJANG PERTAMA (1971-1990)

  1. PENDAHULUAN

1.01 Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1), 1971-90, menggariskan rangka sosio-ekonomi yang menyeluruh bagi mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Selain daripada menentukan matlamat utama mengenai pertumbuhan ekonomi dan pengagihan, RRJP1 juga menggariskan dasar, strategi dan program bagi mencapai matlamat tersebut.

2.02 Dalam tempoh RRJP1, empat rancangan pembangunan lima tahun telah dilaksanakan. Sungguhpun dalam tempoh tersebut negara telah mencapai kemajuan ekonomi dan sosial yang membanggakan, ekonomi negara pernah melalui tahun-tahun yang penuh dengan cabaran kesan daripada batasan dan kelemahan ekonomi dalam negeri di samping ketidakpastian dan ketidakstabilan ekonomi antarabangsa. Namun demikian, ekonomi negara telah muncul dengan lebih kukuh dan kini bersedia untuk melangkah ke dekad sembilan puluhan dengan kekuatan dan ketahanan yang lebih.

II : TUJUAN DAN MATLAMAT RRJP1
Dasar Ekonomi Baru

2.03 Matlamat utama penggubalan DEB ialah untuk mencapai perpaduan negara dan membangunkan satu bangsa melalui strategi serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dari segi pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, Kerajaan sedar betapa beratnya tanggungjawab yang terlibat memandangkan bahawa pada masa RRJP1 dilancarkan hampir separuh daripada jumlah isirumah di negara ini adalah miskin. Kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1970 adalah sebanyak 49.3 peratus daripada jumlah isi rumah dan matlamat yang ditetapkan ialah untuk mengurangkannya kepada 16.7 peratus menjelang tahun 1990. Bilangan isirumah miskin yang terbesar adalah diluar bandar dengan kadar kemiskinan sebanyak 58.7 peratus berbanding dengan 21.3 peratus di kawasan bandar. Matlamat yang ditetapkan ialah untuk mengurangkan kadar kemiskinan diluar bandar dan bandar masing- masing kepada 23 peratus dan 9.1 peratus menjelang tahun 1990. Dari segi kumpulan etnik, Bumiputera merupakan golongan miskin yang terbesar, merangkumi 74 peratus daripada isirumah miskin di Semenanjung Malaysia pada tahun 1970. Kadar kemiskinan dikalangan Bumiputera juga adalah yang tertinggi iaitu 65 peratus berbanding dengan 26 peratus dikalangan kaum Cina dan 39 peratus dikalangan kaum India.

2.04 Dari segi paras pendapatan, pendapatan purata isirumah pada tahun 1970 ialah hanya sebanyak $264 sebulan. Sebanyak 27 peratus isirumah memperolehi pendapatan?kurang dari $100 sebulan, manakala 31 peratus lagi diantara $100 hingga $200 sebulan.

2.05 Strategi serampang dua mata DEB yang kedua pula bertujuan untuk menyusun semula masyarakat untuk menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Matlamat ini diharap akan dapat dicapai melalui penyusunan semula corak gunatenaga, hakmilik modal saham dalam sektor syarikat dan pewujudan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

2.06 Teras utama strategi kedua DEB ini adalah untuk menyusun semula corak gunatenaga supaya menggambarkan komposisi penduduk berbagai kaum di negara ini untuk semua sektor dan semua peringkat pekerjaan dalam ekonomi. Matlamat ini penting memandangkan semasa DEB dilancarkan, struktur pekerjaan memperlihatkan ciri-ciri perbezaan yang amat ketara. Bumiputera tertumpu dalam sektor pertanian tradisional dan dalam ketegori pekerjaan yang berpendapatan rendah manakala kaum bukan Bumiputera pula lebih tertumpu di sektor ekonomi moden dan di bidang profesional dan teknikal yang boleh menghasilkan produktiviti serta pendapatan yang lebih tinggi, seperti yang ditunjukkan di dalam Jadual 2-1. Pencapaian matlamat ini memerlukan usaha-usaha yang gigih ke arah meningkatkan mobiliti tenaga kerja secara meluas diantara sektor-sektor ekonomi. PenyerapanBumiputera dalam pekerjaan baru, terutamanya di sektor perindustrian dan perkhidmatan, perlu dikekalkan pada kadar yang tinggi.

2.07 Satu lagi unsur penting dalam strategi penyusunan semula masyarakat ialah pembentukan MPPB untuk memastikan penglibatan yang berkesan individu-individu Bumiputera dalam sektor-sektor moden. Matlamatnya ialah supaya dalam tempoh satu generasi, Bumiputera dapat memiliki dan mengurus sekurang-kurangnya 30 peratus daripada semua kegiatan perdagangan dan perindustrian dalam ekonomi negara.

2.08 Dari segi penyusunan semula hakmilik modal pula, matlamat yang ditetapkan ialah untuk meningkatkan bahagian modal saham Bumiputera dalam sektor syarikat daripada 2.4 peratus dalam tahun 1970 kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 1990. Untuk mencapai matlamat ini, pemilikan Bumiputera dijangka berkembang pada kadar yang pesat sebanyak 30 peratus setahun berbanding dengan jangkaan 14.5 peratus setahun bagi keseluruhan modal saham sektor syarikat dalam tempoh yang sama. Hakmilik saham -bagi bukan Bumiputera dan rakyat asing pula dijangka berkembang pada kadar yang sederhana, masing-masing sebanyak 15.4 peratus dan 10.3 peratus setahun. Adalah menjadi matlamat RRJP1 bahawa menjelang tahun 1990, pemilikan modal saham Bumiputera dipertingkatkan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus, sementara bahagian rakyat Malaysia yang lain dijangka meningkat daripada 34.3 peratus kepada 40 peratus, manakala rakyat asing pula berkurangan daripada 63.3 peratus kepada 30 peratus.

2.09 Di samping matlamat di atas, strategi penyusunan semula masyarakat adalah juga bertujuan untuk menghasilkan integrasi yang lebih kukuh antara negeri-negeri dan wilayah dalam negara. Matlamat ini dijangka dapat dicapai dengan melaksanakan berbagai strategi dan program untuk mengurangkan jurang perbezaan antara wilayah serta mewujudkan pengagihan yang lebih saksama. Untuk mencapai hasrat ini, usaha-usaha perlu dibuat bagi memperbaiki lagi peluang-peluang untuk meningkatkan kemajuan sosial dan ekonomi di kawasan-kawasan kurang maju di samping memudahkan mobiliti tenaga kerja antara wilayah dan pekerjaan. Rangka Ekonomi Makro RRJP1

2.10 Pencapaian matlamat DEB telah dirancang untuk dilaksanakan dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang pesat. Oleh itu, strategi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dibawah RRJP1 telah ditetapkan pada kadar 8 peratus setahun. Kadar pertumbuhan ini adalah perlu bagi memastikan wujudnya peluang pekerjaan yang mencukupi untuk membolehkan penyusunan semula masyarakat dilaksanakan tanpa menjejaskan golongan lain di samping menyediakan khidmat sosial dan kemudahan infrastruktur yang diperlukan bag-i mencapai matlamat sosio-ekonomi DEB. Dengan pertumbuhan ekonomi pada paras 8 peratus setahun, kadar pengangguran dijangka dapat dikurangkan daripada 7.4 peratus dalam tahun 1970 kepada 3.6 peratus menjelang tahun 1990, dan dengan itu mencapai paras gunatenaga penuh.

2.11 Prospek pertumbuhan ekonomi yang pesat dijangka berpunca daripada penggunaan kekayaan
sumber-sumber asli negara bagi mempercepatkan pertumbuhan pengeluaran pertanian serta kemajuan industri berasaskan bahan mentah. Penggerak utama kepada pertumbuhan yang pesat ialah perkembangan pelaburan swasta dan awam. Dalam tempoh tersebut, pelaburan dijangka berkembang pada kadar 9.1 peratus setahun, manakala nisbah pelaburan kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) akan meningkat daripada 17.7 peratus dalam tahun 1970 kepada 22.3 peratus menjelang tahun 1990. Pelaburan awam dijangka meningkat pada kadar 10.1 peratus setahun. Sebahagian besar pelaburan tersebut adalah bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan pembangunan luar bandar, di samping perusahaan awam yang bertujuan bagi mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti perdagangan dan perindustrian moden. Per-kembangan pelaburan awam yang pesat dijangka diikuti oleh pelaburan swasta yang lebih menggalakkan iaitu pada kadar 8.5 peratus setahun dalam tempoh tersebut.

2.12 Penggerak yang kedua bagi meningkatkan ekonomi ialah perkembangan pesat eksport negara, yang diramal akan meningkat pada kadar 7.1 peratus setahun. Perkembangan eksport ini adalah penting untuk mendapatkan pertukaran asing yang mencukupi bagi membiayai import yang semakin meningkat, khususnya bagi tujuan pelaburan. Keluaran industri pembuatan, khususnya yang berasaskan sumber serta lain-lain industri yang mempunyai potensi untuk berkembang dijangka menjadi penggerak utama kepada pertumbuhan pendapatan eksport. Eksport barangan pembuatan dijangka menyumbang sebanyak 38.1 peratus kepada jumlah eksport barangan dan perkhidmatan menjelang tahun 1990, berbanding dengan 12 peratus dalam tahun 1970. Import pula dijangka berkembang pada kadar 5.2 peratus setahun, selaras dengan
usaha-usaha kearah penggantian import.

2.13 Tabungan negara sebagai nisbah kepada KNK dijangka meningkat daripada 14 peratus dalam tahun 1970 kepada 16.5 peratus pada tahun 1990, sejajar dengan jangkaan pertambahan pendapatan. Ini akan membolehkan sebahagian besar pelaburan yang diperlukan dibiayai melalui sumber dalam negeri. Dengan jangkaan adanya pertambahan tabungan dan pendapatan eksport bersih, masalah sumber atau tukaran asing bagi pembentukan modal dijangka tidak timbul. Seterusnya, keperluan pembiayaan daripada sumber asing untuk menampung kekurangan sumber dalam negeri dijangka kecil dan kedudukan akaun imbangan pembayaran dalam tempoh RRJP1 dijangka memuaskan.

2.14 Dalam tempoh RRJP1, perubahan besar dijangka berlaku dalam struktur ekonomi. Pertumbuhan pesat KDNK seperti yang diunjurkan akan juga diikuti oleh pemodenaan dan kepelbagaian ekonomi negara.

2.15 Sektor pertanian dijangka berkembang pada kadar 5.4 peratus setahun hasil daripada usaha-usaha meneroka tanah baru dan pembangunan in-situ, peningkatan produktiviti serta tanaman baru yang bernilai tinggi di samping meningkatkan pembangunan sektor perikanan dan ternakan. Sungguhpun demikian, sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi keseluruhannya adalah lebih kecil disebabkan oleh perkembangan pesat dalam sektor-sektor lain. Walau pun peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dijangka meningkat kadar peningkatan diramal rendah.

2.16 Sektor pembuatan akan menjadi sektor yang dijangka berkembang paling pesat dengan kadar pertumbuhan sebanyak 12.2 peratus setahun. Ini mencerminkan daya dinamis, kekuatan dan potensi sektor tersebut. Denganperkembangan pesat ini, sektor pembuatan dijangka menyumbang lebih daripada satu pertiga peningkatan KDNK. Faktor-faktor yang menjadi asas kepada perkembangan ini termasuklah sumber asli yang banyak, tenaga kerja yang ramai, peningkatan pendapatan swasta serta potensi untuk mengeluarkan barangan perantaraan dan barangan modal ekoran daripada perkembangan asas industri. Di samping pertumbuhan industri berintensif buruh seperti tekstil dan elektronik yang akan menjadi penggerak kepada perkembangan sektor pembuatan, industri-industri baru termasuk industri-industri barangan keluaran getah dan kayu, petro-kimia serta industri kerja logam akan muncul. Di akhir tempoh RRJP1, sektor ini dijangka menjadi sektor terbesar dalam ekonomi dengan sumbangan sebanyak 26.2 peratus kepada KDNK berbanding dengan 13.9 peratus pada tahun 1970, manakala peluang pekerjaan dalam sektor ini akan meningkat dua kali ganda daripada 8.7 peratus jumlah keseluruhan pekerjaan dalam tahun 1970 kepada 16.8 peratus menjelang tahun 1990.

2.17 Sektor perkhidmatan pula dijangka berkembang selaras dengan perkembangan keseluruhansektor-sektor lain dalam ekonomi. Pertumbuhan pesat dijangka akan dapat dilihat terutama dalam sektor elektrik dan air serta dalam sektor kewangan, bank, insuran dan hartanah, sejajar dengan usaha memperbaiki infrastruktur sosial dan fizikal serta pembangunan institusi.

III : PENGALAMAN MASA LALU DAN PERSPEKTIF DI MASA HADAPAN

2.64 Pencapaian matlamat pertumbuhan dan sosio-ekonomi dalam tempoh RRJP1 pada keseluruhannya adalah membanggakan. Pengajaran dan pengalaman yang diperolehi daripada usaha¬usaha pembangunan yang lalu akan menjadi asas yang amat berguna untuk merumus dasar dan strategi masa hadapan. Perspektif Sosio-Ekonomi

2.65 DEB telah banyak menyumbang ke arah penyertaan yang seimbang dikalangan rakyat Malaysia dalam pembangunan negara. Oleh yang demikian, teras dasar ini akan terus dijadikan sebagai panduan dalam pembangunan negara dan dalam usaha untuk terus mengurangkan kadar kemiskinan tanpa mengira kaum dan ketidakseimbangan ekonomi untuk memastikan faedah pembangunan diagih dengan saksama. Walau bagaimanapun, perhatian yang lebih akan diberi kepada usaha mengatasi kekurangan dan kelemahan yang telah dikenalpasti dalam dua dekad pembangunan yang lalu.

2.66 Berhubung dengan usaha membasmi kemiskinan, walaupun pencapaiannya telah melebihi matlamat, masalah golongan termiskin yang akan terus wujud dalam dekad seterusnya perlu diberi perhatian. Arahaliran dan pengurusan sumber akan diperbaiki bagi memastikan kumpulan sasaran mendapat faedah yang sepenuhnya daripada usaha-usaha Kerajaan. Keutamaan akan diberi kepada peningkatan mutu kehidupan dari segi tempat tinggal dan kemudahan awam yang sewajarnya. Seterusnya masalah kemiskinan relatif juga akan di-beri perhatian yang lebih. Pembasmian kemiskinan relatif dan masalah golongan termiskin akan terus dilaksanakan tanpa mengira kaum.

2.67 Memandangkan kepada kurangnya pencapaian dari segi matlamat penyusunan semula masyarakat, usaha-usaha menyusun semula perlu ditumpukan secara lebih meluas bagi membolehkan Bumiputera memperkukuhkan dan memperluaskan asas ekonomi mereka, di samping meningkatkan daya saing dan kecekapan mereka dalam aktiviti-aktiviti ekonomi. Usaha-usaha untuk mewujudkan lebih ramai usahawan Bumiputera dan meningkatkan hakmilik mereka dalam sektor syarikat akan terus dilaksanakan. Dalam meneruskan usaha-usaha ini, perhatian yang sewajarnya akan diberi kepada kedudukan sosio-ekonomi golongan minoriti dikalangan masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Kekuatan dan Ketahanan Ekonomi

2.68 Tumpuan pembangunan ekonomi dalam dekad sembilan puluhan adalah untuk meneruskan pertumbuhan pesat yang telah dicapai beberapa tahun kebelakangan ini serta mengukuh dan menguatkan daya berkembang. Memandangkan pertumbuhan ekonomi di masa hadapan akan dipengaruhi oleh perkembangan luar, langkah-langkah akan ditumpukan bagi meningkatkan ketahanan dan keteguhan ekonomi bagi mengurangkan kesan buruk ekonomi dunia. Daya penggerak kepada pertumbuhan ekonomi negara dijangka berpunca daripada perkembangan pesat aktiviti-aktiviti dalam negeri melalui peningkatan kegiatan nilai ditambah daripada sumber-sumber asli dan sumber-sumber baru yang boleh menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi.

2.69 Usaha-usaha yang lebih giat perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pengembelingan sumber-sumber dalam negeri. Di masa lalu pertumbuhan ekonomi adalah dibiayai dari tabungan dalam negeri dan pinjaman asing. Jika negara ingin terus mengurangkan pergantungan kepada pinjaman luar negeri, sumber-sumber bagi pelaburan perlu dibiayai dari dalam negeri. Usaha-usaha meningkatkan kecenderungan menabung, dengan itu, perlu diteruskan. Pada masa yang sama, usaha untuk menarik kemasukan pelabur asing perlu dipergiatkan bagi memenuhi keperluan perkembangan pelaburan. Kecekapan Pelaburan

2.70 Sungguhpun negara telah berjaya meningkatkan pelaburan pada kadar purata 26.6 peratus dalam dekad tujuh puluhan kepada 32.1 peratus dalam dekad lapan puluhan, peningkatan tersebut tidak menghasilkan pertumbuhan yang tinggi. Ini menunjukkan bahawa tahap kecekapan penggunaan modal adalah rendah. Ini antara lain disebabkan oleh sebilangan daripada pelaburan tersebut melibatkan infrastruktur fizikal dan penggunaan modal yang besar dan memerlukan tempoh yang panjang untuk mendapatkan pulangan. Dari perspektif faktor ketiga pula, kecekapan pengeluaran penggunaan teknologi baru dan keusahawanan adalah ditahap rendah.

2.71 Penekanan perlu ditumpukan kepada meningkatkan lagi kecekapan didalam ekonomi. Oleh itu, dasar-dasar akan ditumpukan kepada usaha untuk meningkatkan kecekapan modal, terutama melalui peningkatan penggunaan teknologi baru dan menambah kemahiran buruh serta pembangunan institusi dan infrastruktur. Selaras dengan langkah-langkah tersebut, usaha-usaha akan juga diambil bagi mengurangkan kesan gangguan dalam ekonomi dengan memudah dan melonggarkan lagi peraturan dan proses pentadbiran. Ia juga boleh dicapai melalui perubahan organisasi, kaedah pemasaran yang lebih baik dan pengurusan buruh yang lebih cekap.

Keteguhan Sektor Swasta

2.72 Sektor swasta dijangka memainkan peranan utama sebagai penggerak bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Walau bagaimanapun, diawal dekad lapan puluhan pertumbuhan sektor swasta adalah lembab dan hanya kembali teguh mulai tahun 1987.

2.73 Apabila negara melangkah ke dekad sembilan puluhan, sektor swasta akan menerajui perkembangan ekonomi. Sungguhpun dasar yang lebih fleksibal dan pragmatik merupakan teras kepada usaha-usaha Kerajaan bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta di dalam ekonomi, sektor swasta harus mengambil risiko dan mempunyai inisiatif serta berkesanggupan dalam memainkan peranan ini. Sektor swasta perlu berupaya merebut segala peluang bagi mempertingkatkan peranannya terutama dalam menceburi bidang-bidang baru dan menggunakan teknologi yang lebih baik.

2.74 Usaha-usaha yang lebih gigih dan bersepadu perlulah diteruskan bagi memperkenal dan memasarkan keluaran negara di pasaran antarabangsa. Penekanan akan diberi kearah mempertingkatkaan kecekapan dan daya pengeluaran bagi membolehkan usahawan Malaysia menjadi terkemuka di pasaran tersebut. Selain dari itu, sektor swasta harus lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada faedah perlindungan tarif yang tinggi supaya kemampuan mereka untuk bersaing dapat dikekalkan dalam jangka panjang.Pembangunan dan Rantaian di Antara Sektor

2.75 Struktur ekonomi Malaysia telah mengalami perubahan yang ketara dalam tempoh RRJP1. Di samping pertukaran kearah struktur yang lebih kukuh, terdapat juga kelemahan-kelemahan dan batasan-batasannya, terutama di dalam dua sektor utama iaitu sektor pembuatan dan pertanian. Sektor perkhidmatan pula tidak berkembang sepesat yang dijangkakan.

2.76 Sektor pembuatan telah memberi sumbangan yang penting kepada pertumbuhan ekonomi dan pewujudan pekerjaan. Di sebalik pertumbuhan yang pesat ini, ianya telah memperlihatkan beberapa kelemahan struktur. Pertumbuhan sektor industri masih tertumpu kepada beberapa industri seperti elektronik, tekstil dan pakaian yang bertujuan untuk eskport. Selain daripada tertumpu di kawasan perdagangan bebas, industri-industri tersebut mempunyai rantaian antara industri dan sektor yang terbatas di samping terlalu bergantung kepada kos upah yang rendah untuk terus mengekalkan daya saingan. Bagi industri-industri untuk pasaran dalam negeri pula, pertumbuhan terlalu bergantung kepada perlindungan yang tinggi, yang telah menyekat keupayaan mereka untuk bersaing di pasaran antarabangsa.

2.77 Bagi sektor pertanian pula, masalah yang dihadapi oleh sektor ini adalah berpunca dari faktor-faktor luaran dan dalaman. Pada umumnya di pasaran antarabangsa, harga-harga bagi barangan pertanian telah mengalami kejatuhan harga sebenar. Bagi faktor dalaman pula, masalah yang dihadapi oleh sektor ini lebih merupakan masalah struktur. Tanah yang boleh diusahakan untuk tujuan pertanian di Semenanjung Malaysia adalah terhad. Manakala di Sabah dan Sarawak pula sungguhpun masih terdapat tanah yang luas, ianya sukar untuk diusahakan memandangkan kekurangan kemudahan infrastruktur dan ini menyebabkan usaha untuk membangunkannya agak terbatas. Kegiatan pertanian juga menghadapi masalah pulangan yang rendah dan kos buruh yang sentiasa meningkat. Ini menyebabkan sumber modal dan buruh berpindah ke sektor perindustrian yang memberi pulangan dan upah yang lebih tinggi. Ini telah menimbulkan masalah seperti tanah terbiar dan kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan.

2.78 Sektor perkhidmatan telah menunjukkan beberapa kemajuan hasil daripada perkembangan di
sektor-sektor utama ekonomi. Sektor ini di masa-masa lepas memainkan peranan sebagai sektor penyokong yang hanya berkembang selaras dengan perkembangan sektor-sektor lain dalam ekonomi. Sektor-sektor perkhidmatan tradisi seperti pengangkutan, perjalanan dan insuran, kewangan dan bank hanya dapat memenuhi keperluan dalam negeri dan tahap kecanggihannya masih ketinggalan berbanding dengan kemajuan di peringkat antarabangsa.

2.79 Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah peningkatan bidang-bidang perkhidmatan yang tidak bergantung kepada perkembangan sektor utama, seperti industri riadah, pelancongan, pendidikan dan kesihatan yang disediakan oleh sektor swasta dan lain-lain perkhidmatan yang seumpamanya. Tambahan pula, bidang-bidang yang baru muncul yang dapat memberi pulangan yang tinggi seperti perkhidmatan juruperunding, teknologi maklumat dan lain-lain perkhidmatan ikhtisas telah berkembang agak perlahan. Perkhidmatan ini bukan sahaja diperlukan untuk memenuhi permintaan dalam negeri, tetapi juga harus dapat dieksport bagi tujuan mengurangkan defisit akaun sektor perkhidmatan dalam akaun imbangan pembayaran.

2.80 Pembangunan ekonomi yang berkekalan juga memerlukan asas S&T serta P&P yang kukuh. Perbelanjaan tahunan bagi P&P yang kurang daripada satu peratus daripada KNK adalah tidak setanding dengan lain-lain negara perindustrian. Tambahan pula, sumbangan sektor swasta kepada usaha ini masih lagi kecil iaitu hanya kira-kira 15 peratus dari jumlah keseluruhan perbelanjaan P&P. Di samping itu, kebanyakan kerja-kerja penyelidikan yang mempunyai nilai komersil yang dijalankan oleh institusi penyelidikan Kerajaan tidak dapat dimunafaatkan oleh sektor swasta untuk dijadikan projek komersial yang berdaya maju.

IV : PENUTUP

2.81 Arah pertumbuhan yang telah dirintis oleh negara dalam tempoh dua dekad yang lalu adalah amat membanggakan walaupun banyak rintangan yang terpaksa dilalui terutama semasa kemelesetan pada pertengahan dekad lapan puluhan. Kejayaan yang dicapai selama ini adalah hasil dari sumbangan semua rakyat Malaysia yang telah sanggup berkorban dan berusaha gigih dalam menghadapi cabaran. Dekad akan datang adalah lebih mencabar lagi terutama sekali apabila negara kita maju kehadapan demi untuk mengekalkan kejayaan yang dicapai. Ini memerlukan setiap rakyat Malaysia bersikap lebih dedikasi dan berdisiplin demi untuk melicinkan proses membina negara dan mempercepatkan pencapaian objektif perpaduan negara

RANCANGAN MALAYSIA

Rancangan Malaysia merupakan rancangan lima tahun pembangunan kerajaan Malaysia. Rancangan lima tahun ini merupakan kesan peninggalan daripada zaman pemerintah British di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Rancangan lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama, iaitu, dari tahun 1956 hingga 1960. Selepas itu disambung dengan Rancangan Malaya Kedua dari tahun 1961 hingga 1965.
Setelah penubuhan Malaysia pada tahun 1963, rancangan lima tahun ini telah ditukar kepada Rancangan Malaysia (RM) dengan Rancangan Malaysia Pertama bermula pada tahun 1966 hingga 1970. Bezanya ialah perancangan ekonomi sebelumn tertubuhnya Malaysia, tumpuan untuk kali ini dan seterusnya adalah untuk seluruh Malaysia termasukSabah dan Sarawak.

Senarai Rancangan Malaysia

  1. Buku Kuning: 1951-1955
  2. Rancangan Malaya Pertama: 1956 - 1960
  3. Rancangan Malaya Kedua: 1961 - 1965
  4. Rancangan Malaysia Pertama: 1966 - 1970
  5. Rancangan Malaysia Kedua: 1971 - 1975; Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan sehingga 1990
  6. Rancangan Malaysia Ketiga: 1976 - 1980
  7. Rancangan Malaysia Keempat: 1981 - 1985
  8. Rancangan Malaysia Kelima: 1986 - 1990
  9. Rancangan Malaysia Keenam: 1991 - 1995
  10. Rancangan Malaysia Ketujuh: 1996 - 2000
  11. Rancangan Malaysia Kelapan: 2001 - 2005
  12. Rancangan Malaysia Kesembilan: 2006 - 2010
  13. Rancangan Malaysia Kesepuluh: 2011 - 2015